Tun Dr Mahathir telah keluar dari UMNO. Bagaimanakah Guru melihat hal ini?
Dalam kehidupannya Tun hanya ingin menjadi yang pertama dan utama. Beliau mahu dikenali sebagai orang yang mencipta atau memulakan sesuatu. Kalau boleh Tun mahu merasakan semua pengalaman dalam hidup beliau. Tun pernah disingkirkan daripada UMNO. Kemudian beliau diterima semula. Selepas itu Tun pernah melalui zaman UMNO diharamkan. Beliau bangun dengan cepat lalu menjadi pengasas kepada UMNO baru. Beliau pernah keluarkan seseorang daripada tahanan, tetapi setelah 16 tahun orang yang sama dikeluarkan pula daripada UMNO. Beliau pernah menyingkirkan beberapa orang timbalannya. Kini dia ingin menyingkirkan Perdana Menterinya sendiri. Atas alasan itu dia keluar sendiri daripada UMNO. Berbanding dengan apa yang pernah dilakukan atau dilaluinya, ini adalah hal kecil sahaja baginya.

Mengapakah pada fikiran Guru Tun keluar daripada UMNO?
Inilah yang kita tidak nampak. Mahathir dan kita sama-sama boleh melihat. Tetapi kita tak nampak, sedangkan Mahathir nampak. Kalau nampak pun, apa yang kita nampak tak sama dengan apa yang Mahathir nampak. Mahathir melihat di sebalik itu, kita melihat ke arah itu. Hasilnya kita nampak hutan dan kegelapan, tetapi Mahathir nampak di sebalik hutan itu ada tasik yang tenang, dan dalam tasik itu ada pelbagai jenis ikan, malahan ada cahaya yang memancar di sebalik belantara itu. Lainlah kalau yang dia nampak itu tidak betul,Maklumlah dulu mata masih cerah, sekarang udah kabur.Tetapi itu kalau melihat dengan mata kasar, bagaimana kalau Mahathir melihat dengan mata hati?

Maksudnya?
Maksudnya Mahathir optimis. Mahathir melihat harapan dan peluang. Mahathir tidak pernah bergantung kepada satu cara. Mahathir bersedia menggunakan apa jua cara. Dia pernah bersajak, menangis, menulis surat dan menghasilkan buku untuk menyedarkan bangsanya sendiri. Ini jugalah yang diajar oleh Islam. Kalau sudah tahu satu cara gagal, kita harus ubah kepada cara baru. Kalau gagal juga kena tukar cara lain. Tuhan tidak menjadikan dunia ini buat kita dengan hanya satu cara. Kalau hanya satu cara, itu zalim namanya. Tuhan beri kita aqal, maka dengan aqal itu Tuhan suruh kita fikir apa yang patut kita lakukan. Jika kita sudah tahu cara yang digunakan itu tidak membuahkan hasil, tetapi kita masih ingin kekal dengan cara itu, itulah bodoh namanya.

Sekalipun dengan meninggalkan UMNO?
Itulah yang saya kata mula-mula tadi, dia melihat dengan cara yang berbeza dan apa yang dia lihat juga berbeza. Dia cuma keluar daripada parti UMNO. Itu pun katanya untuk sementara. Dia tidak meninggakan UMNO.Masakan dia boleh lari daripada UMNO kerana UMNO itu jiwanya. Jika ia lari daripada UMNO , UMNO akan mengejarnya. Bezanya, kalau dahulu dia berada di dalam UMNO, tetapi sekarang, dia berada di sebelah UMNO. UMNO itu ciptaan manusia, sedangkan pengasas UMNO dan ahli-ahli yang mendukungnya adalah ciptaan Tuhan. Manusia ialah sebaik-baik ciptaan Tuhan, dan tentulah diharapkan UMNO menjadi ciptaan terbaik manusia. UMNO diasaskan oleh Allahyarham Dato’ Onn dan orang-orang Melayu atas kepentingan orang Melayu pada waktu itu. Pengasasnya merasakan pada waktu itu UMNO itulah jalan dan UMNOlah itulah cara terbaik. Masa berubah. UMNO turut berubah mengikut tangan yang memimpin dan menerajuinya. UMNO dicorakkan oleh keadaan dan masa. UMNO tidak patut membelenggu kita. UMNO tidak boleh mengambil alih fungsi akal dan fikir. UMNO patutnya menjadi wadah bagi mereka yang berupaya berfikir dengan baik. Bagi Mahathir, jika UMNO akan menjadi semakin kuat dengan cara beliau keluar, maka beliau tidak ada cara lain selain melakukannya.

Hakcipta Abd Bashid Harun