1 Malam tadi saya sempat menyaksikan para peserta Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) peringkat akhir menunjukkan kepetahan masing-masing melalui siaran langsung di TV1.

2 Saya terlepas pertandingan ini pada tahun-tahun sebelumnya. Maka saya berazam untuk tidak terlepas peluang itu sekali lagi.

3 Pada kali ini saya pastikan kesemua anak saya turut menonton siaran langsung itu, sambil membiarkan mereka memberi komen masing-masing.

4 Walaupun tumpuan tidak diberikan sepenuhnya untuk menghayati keseluruhan kandungan hujah para peserta, namun ada beberapa penilaian yang sempat saya buat berkaitan pertandingan berbahasa Melayu yang agak berprestij itu.

5 Kesemua peserta, kecuali perserta negara kita nampaknya telah mengambil kesempatan keemasan berada di pentas antarabangsa itu untuk menjual negara masing-masing.

6 Mereka dengan penuh bangga mengambil contoh dari tempat asal mereka meskipun dalam kadar yang sedikit memandangkan ada perkara lain yang lebih diutamakan dalam kesempatan itu.

7 Pada masa yang sama rasa hormat dan kagum mereka tidak dapat disembunyikan atas usaha yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia dalam banyak perkara, tidak kecuali dalam memasarkan Bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.

8 Namun ini berbeza sekali dengan peserta dari Malaysia yang sudah meninggikan suara dari awal lagi. Nada pidatonya agak keras dan serius sehingga tidak berkesempatan untuk melontarkan senyuman dan meninggalkan kesan selamba dan bersahaja.

9 Saya tidak tahu adakah ini gaya pidato Malaysia yang hendak diketengahkan. Gaya yang seolah-olah harus keras, lantang, serius dan sentiasa meninggikan suara. Apakah jika kita mengalunkan suara yang sederhana, lemah lembut, tersenyum seperti peserta dari Rusia, itu bukan gaya berpidato.

10 Jika ditanya kepada saya, saya sudah lama menolak gaya pidato yang tegang dan sentiasa keras seperti itu. Ini bukan pidato meniupkan api kemarahan rakyat untuk bangkit berjuang menentang musuh di medan perang atau untuk menuntut kemerdekaan. Sekarang adalah masa kita menjual idea yang bernas dengan gaya yang tenang dan bersahaja agar penonton berasa disapa dan selesa untuk mendengar dan kemudian membeli idea kita.

11 Lebih malang lagi peserta negara kita tidak langsung mengambil kesempatan itu untuk ‘menjual’ atau memasarkan Malaysia. Pemidato mungkin akan menggunakan alasan bahawa tajuk itu tidak sesuai untuk berbuat seperti itu. Namun pemidato yang berkebolehan dan berpandangan jauh sentiasa menyediakan kesempatan walaupun beberapa saat untuk mengaitkan sikap bertanggungjawab itu dengan apa jua tajuk dan keadaan.

12 Peserta negara lain pun ada mendapat tajuk yang serupa, tetapi tetap mengambil peluang keemasan ini untuk mempromosikan negara mereka walaupun dalam bentuk ungkapan dan contoh sahaja. Dan seronoknya ini menjadi satu kebanggaan buat mereka.

13 Yang lebih-lebih malang lagi peserta dari Malaysia tidak mengemukakan sebarang cadangan atau langkah yang sepatutnya diambil untuk melestarikan alam.

14 Yang kerap ditonjolkan oleh peserta dalam kategori nusantara itu hanyalah rasa pesimis beliau tentang masa depan alam, sambil mendendangkan lagu penyesalan,berlagu hiba tentang kemusnahan alam yang tidak berkesudahan dan menangisi semua usaha pemeliharaan alam yang dilihatnya gagal.

15 Yang paling menyerlah hanyalah keupayaan peserta ini menyalahkan semua pihak, sedangkan yang ditunggu-tunggu oleh pendengar atau penonton ialah cadangan dan lontaran idea bernas untuk mengatasi semua itu.

16 Kalaulah tidak kerana kosa kata yang dikuasainya , rasa megahnya memetik banyak nama tersohor di dunia, dan kebolehan bermain dengan kata dan lengguk bahasa, dia hampir tidak ada apa-apa pada malam ini untuk dihadiahkan kepada kita dan juga dunia. Sekali lagi dunia berbahasa Melayu hanya mendengar peserta tuan rumah ini menyalahkan dan menangisi kegagalan.

17 Ini berbeza dengan peserta dari Kemboja yang lebih bersahaja dan lebih berseni dalam memukau penonton. Dia mungkin tidak sepetah atau sefasih peserta dari Malaysia tetapi dia nampaknya lebih memahami apa sebenarnya yang dikehendaki dalam pidato seperti itu.

18 Hampir tidak ada nada menyalahkan sesiapa sekalipun beliau telah membentangkan tajuk pidato yang sama dengan peserta dari Malaysia.

19 Dia berjaya mengemukakan langkah-langkah dan memberikan cadangan untuk melestarikan alam. Peserta ini seolah-oleh memahami bahawa itulah aspek utama yang dikehendaki dalam pidato ini, selain kekuatan bahasa. Lebih membanggakan lagi beliau telah mengambil usaha-usaha kerajaan Malaysia sebagai usaha yang patut dicontohi.

20 Walau apapun tahniah kepada yang berjaya.Mohon maaf daripada saya

Catatan GuruBashid