1 Gagasan 1Malaysia cukup baik, mudah dan sedap disebut. Ia diluncurkan tepat pada waktunya oleh seorang pemimpin multipengalaman yang memahami keperluan sebenar Malaysia.

2 Matlamatnya juga sangat jelas, iaitu untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

3 Semua bangsa menyambutnya dengan baik dan penuh harapan setelah apa yang mereka lalui selama ini.

4 Rakyat tanpa mengira peringkat umur tidak kekok menyebutnya berbanding konsep Islam Hadhari sebelumnya. Kita boleh lihat di mana-mana sahaja wajah-wajah ceria mengungkapkan 1Malaysia dengan begitu sempurna dan bersemangat sekali.

5 Sebabnya mudah kerana gagasan ini tidak dibatasi oleh faktor agama dan kepercayaan; tidak dikekang oleh suatu tempoh waktu tertentu dan tiada melanggar pantang larang budaya.

6 Asalkan ia rakyat Malaysia, ia boleh sahaja menyebutnya, berpegang dan bertindak berpandukannya.Ternyata 1Malaysia menjadi slogan yang selamat dan tiada apa-apa yang perlu dicurigakan.

7 Namun sayugia diingat 1Malaysia yang lebih mesra di bibir bukanlah satu-satunya yang ada dalam gagasan itu. Ada dua lagi ungkapan yang begitu penting yang sebenarnya menjadi faktor penentu sama ada gagasan 1Malaysia itu diterima atau ditolak oleh rakyat Malaysia.

8 Yang saya maksudkan ialah ungkapan Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan yang mengiringi ungkapan 1Malaysia itu.

9 Jika 1Malaysia lebih sesuai untuk disebut, ungkapan berikutnya iaitu Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan pula merupakan agenda dan tindakannya.

10 Dua ungkapan ini juga boleh dianggap sebagai cabaran yang disediakan untuk merealisasikan hasrat 1Malaysia itu.

11 Kejayaan Gagasan 1Malaysia ditentukan oleh kejayaan merealisasikan dua cabaran ini.Sama ada negara sedang digerakkan di atas ril 1Malaysia atau sekadar slogan penyedap telinga ditentukan oleh agenda dan program yang sedang dilaksanakan untuk memenuhi dua cabaran ini.

12 Di sinilah yang saya maksudkan 1Malaysia yang muluk itu boleh sahaja bertindak sebagai racun yang membunuh kepercayaan dan harapan rakyat Malaysia pelbagai kaum atau menjadi penawar yang merangsang usaha ke arah mencapai matlamat perpaduan.

13 Sekali kita mengapungkan gagasan ini, seluruh rakyat di segenap peringkat tidak boleh menoleh ke belakang lagi, melainkan untuk terus merealisasikannya dalam bentuk agenda dan tindakan.

14 Malahan saya berani menyatakan Gagasan 1Malaysia ini akan bertindak sebagai Critical Success Factor atau Faktor Kejayaan Kritikal yang bakal menentukan sama ada kerajaan Barisan Nasional akan menang atau kalah dalam PRU ke-13 nanti.

15 Sebaik-baik sahaja gagasan ini diperkenalkan, rakyat pelbagai kaum dan agama telah pun menentukan bahawa benchmark atau penanda aras bagi negara ini adalah usaha dan agenda yang dibuat untuk memenuhi gagasan ini.

16 Jika ahli-ahli parti lebih cenderung untuk memerhatikan usaha pengukuhan dalam parti masing-masing (komponen BN), seluruh rakyat Malaysia pula tanpa mengira parti dan anutan akan memerhatikan yang satu ini dan sanggup melupakan yang lain.

17 Sebab itu semua percakapan, perbincangan, tindakan dan program yang dikemukakan oleh kerajaan, kementerian dan agensi serta sesiapa sahaja yang berkaitan dengan kerajaan mesti menjurus ke arah memenuhi gagasan ini, iaitu membentuk masyarakat 1Malaysia yang sentiasa mendahulukan rakyat tanpa mengira parti dan kaum dan mengutamakan pencapaian atau hasil yang menguntungkan rakyat pelbagai kaum; juga tanpa mengira parti dan bangsa.

18 Melihat kepada keadaan ini, tentulah ianya menjadi suatu cabaran yang bukan mudah bagi mereka yang telah sekian lama diorientasikan dengan fikiran, percakapan dan tindakan berasaskan parti, kaum dan kepercayaan masing-masing.

19 Saya tidak bimbangkan Perdana Menteri,DS Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak yang mencetuskan gagasan ini.Beliau tentu sangat memahaminya sebelum gagasan ini diapungkan dan turut menyedari risiko yang berlaku serta darjah pengorbanan yang bakal ditolakansurkan.

20 Tetapi saya bimbangkan yang lain-lainnya yang telah diorientasikan sekian lama oleh parti dan etnik. Tidak mustahil, sementara mereka mahu menyerap masuk semangat dan maksud yang mendukung 1Malaysia ini, mereka akan tersasar dan tersasul sehingga menyinggung rakan sepasukan (maksud saya dalam BN) jika tidak berhati-hati.

21 Jika tersasar sampai dianggap menyinggung parti atau kaum lain sebelum wujudnya gagasan ini kesannya tidaklah begitu parah; berbanding kesannya setelah gagasan 1Malaysia itu sedia diterima dan dipersetujui menjadi gagasan bersama untuk seluruh rakyat Malaysia.

22 Inilah yang rakyat berbagai-bagai kaum sedang melihatnya sambil menilainya sama ada Perdana Menteri, menteri-menteri,timbalan-timbalannya, wakil rakyat, kementerian dan agensi-agensi kerajaan benar-benar sedang melaksanakannya.

23 Disebabkan gagasan 1Malaysia tidak dibatasi oleh waktu, ia bukan sekadar slogan, tetapi turut disediakan dua cabaran, iaitu rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan, maka ia bukanlah sesuatu yang mudah berbanding Wawasan 2020.

24 Wawasan 2020 ialah apa yang akan berlaku kepada negara ini menjelang 1 Januari 2020, tetapi gagasan 1Malaysia terus akan dinilai oleh rakyat pelbagai kaum kerana ia melibatkan apa yang kerajaan sedang buat sekarang ini.

25 Rakyat berbilang kaum di negara ini tidak perlu menunggu hingga ke suatu tempoh tertentu untuk melihat hasilnya, tetapi mereka mahu melihat pelaksanaan dan kesannya sekarang juga, paling lama ialah sehingga PRU ke-13.

26 Justeru, saya suka mengingatkan semua rakyat Malaysia, terutama bangsa saya sendiri, termasuk blogger dan pejuang, jangan sampai anda terlupa tentang ini.

27 Sekali kita mengungkapkan gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan, itulah yang akan dilihat dan dinilai oleh mereka.

28 Oleh itu nasihat saya, berhati-hatilah, jangan sampai percakapan, perbincangan, buah fikiran dan tindakan kita lari daripada gagasan 1Malaysia sehingga rakyat Malaysia berbagai-bagai kaum hilang kepercayaan sama sekali dengan konsep 1Malaysia.

29 Rakyat Malaysia pelbagai kaum dan anutan akan menjadi lebih sensitif selepas adanya gagasan 1Malaysia ini, berbanding sebelumnya.

30 Jelas sekali daripada huraian di atas, bukanlah mudah rupanya melayari bahtera 1Malaysia ini. Banyak hati yang hendak dijaga dan banyak tindakan yang mesti dikawal umpama menarik rambut dari tepung; tepung tak tumpah, rambut tak putus.

Hakcipta Abd Bashid bin Harun