Ramai orang yang cuba membandingkan cara berfikir Pak Lah dengan cara Dr Mahathir berfikir tetapi dengan maksud untuk menunjukkan kekurangan salah seorang daripada mereka. Ini cara atau pendekatan yang tidak serasi dengan jiwa saya. Saya boleh membandingkan kedua-duanya tetapi untuk mencari kekuatan yang ada pada kedua-dua mereka. Kalau saya menceritakan kelebihan Dr Mahathir seperti yang pernah saya lakukan sebelum ini, itu bukan bererti saya bermaksud untuk menidakkan cara berfikir Pak Lah. Begitulah sebaliknya jika saya mengupas tentang cara kepimpinan Pak Lah tanpa menghadirkan Dr Mahathir bersamanya bukan bererti saya anti-Mahathir dan pro-Pak Lah. Jika mereka mempunyai kelemahan pun bukanlah kelemahan yang sengaja diciptakan, tetapi kelemahan itu datang serentak dengan proses berlakunya pengukuhan kepemimpinanan dan proses penambahbaikan berterusan. Kelemahan itu sebagai cara untuk orang yang terlibat bersama komunitinya untuk membetulkannya, bukanlah alasan untuk menyingkirkannya. Pada saat krisis seperti sekarang ini kekuatan dan kelebihan kedua-duanya harus dicari dan diketengahkan. Apakah kelebihan yang ada Pak Lah yang tiada pada Tun Dr Mahathir? Begitulah sebaliknya, apakah kelebihan yang ada pada Tun Dr Mahathir yang tiada pada Pak Lah? Ini amat penting agar gabungan dan adunan cara kepemimpinan kedua-duanya dapat diharmonikan untuk mencari rumus terbaik bagi melepasi kemelut sedia ada. Inilah yang dikatakan sinergi yang merupakan nilai tambah daripada kedua-dua pemikiran pemimpin tadi. Dalam mendapatkan sinergi tadi tiada sesiapa yang kalah, sebaliknya kedua-duanya menang dan lebih penting lagi kemenangan itu menguntungkan parti dan kerajaan.Saya berpendapat kelebihan pada Pak Lah menonjol semasa tenang dan aman. Justeru Pak Lah berusaha mengelakkan sebarang krisis dan mewujudkan keadaan yang seaman mungkin. Cara Pak Lah ialah dengan membuka seluas-luasnya kebebasan untuk orang memberi pandangan terhadap kepemimpinan beliau. Ini keberanian Pak Lah yang tiada tolok bandingnya. Maka sekali peluang itu terbuka rakyat yang sebelum ini seolah-olah terpenjara bangun bersuara. Sejak itu berbagai-bagai kritikan dan pandangan dilontarkan sehinggalah satu peringkat kritikan dan pandangan itu bertukar menjadi lebih agresif dan hilang kawalan. Pak Lah yang begitu baik masih boleh bersabar sehinggalah keamanan dan maruah negara dicabar dengan tindakan pendemonstrasi jalanan dalam membuat tuntutan sehingga melibatkan pihak luar. Tindakan tegas Pak Lah kepada kumpulan penunjuk perasaan jalanan yang membuat tuntutan dengan cara yang boleh mengancam keselamatan negara akhirnya tidak dapat diterima oleh sebahagian rakyat lalu melontarkan pelbagai tohmahan kepada kerajaan di bawah pimpinan Pak Lah. Mereka seolah-olah melupakan kelonggaran dan kebebasan yang cukup besar yang pernah diberi kepada rakyat oleh Pak Lah yang belum pernah diberi sebelum ini. Malahan kekalahan BN di lima negeri plus di Kuala Lumpur nampaknya adalah menunjukkan keluasan dan kebebasan yang diberi kepada rakyat di bawah kepemimpinan Pak Lah yang diterjemah oleh ramai orang sebagai kelemahan BN dan kepemimpinan Pak Lah itu sendiri. Walau apa pun tafsiran orang ramai terhadap keputusan pilihan raya itu hakikatnya ada orang yang cuba menangguk di air yang keruh, dengan melaga-lagakan orang Melayu, mempertikaikan Dasar Eknomi Baru dan sejarah pembangunan bangsa. Tembelang pihak-pihak tertentu daripada kekalahan besar BN baru-baru ini terbuka seluas-luasnya yang sebelum ini tidak begitu ketara. Inilah salah satu daripada rahmat di sebalik kekalahan itu, yang mana di suatu segi sangat memeritkan untuk diterima. Dalam saat-saat cemas seperti ini kelihatannya Pak Lah perlu dibantu dengan kesetiaan,perpaduan dan kerjasama. Pak Lah memerlukan sokongan padu bukan lagi kritikan dan sindiran beterusan. Maka jika Tun Dr Mahathir ingin membantu inilah masanya sebab Tun dilihat orang yang paling berjaya pada saat krisis. Tun Dr Mahathir begitu menonjol kepemimpinannya dalam saat-saat negara diterjah dengan krisis ekonomi global yang ditandai oleh krisis mata wang yang turut melanda beberapa bahagian dunia yang menyaksikan penurunan nilai ringgit berbanding dollar Amerika, kejatuhan saham dan serangan oleh penyangak mata wang George Soros serta krisis politik yang menyaksikan penyingkiran Anwar Ibrahim daripada jawatan dalam kerajaan dan parti. Pada waktu itu kita menyaksikan ramai Perdana Menteri dan Presiden di beberapa buah negara di dunia mengundur diri atau disingkirkan namun Tun Dr Mahathir tetap tegas untuk mendepani semua krisis ini dan ternyata dia begitu berjaya. Jadi tidakkah ada peluang untuk Tun duduk semeja dalam semangat parti UMNO/BN untuk memberikan pandangan dan cadangan di saat-saat akhir beliau sekali sahaja untuk bersama-sama memulihkan UMNO dan BN? Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " Adunan Pemikiran Pak Lah dan Tun Mahathir "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply