1 DS Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, bolehlah dikatakan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang sangat bertuah kerana beliau mendapat sokongan langsung daripada kedua-dua mantan Perdana Menteri yang masih sihat dan kuat, iaitu Tun Dr Mahathir bin Mohamad dan Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi.
2 Bezanya, Tun Abdullah menyokong Perdana Menteri secara terus sementara Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong Perdana Menteri dengan alasan dan idea.
3 Keadaan ini tentu meletakkan DS Najib jauh lebih selesa berbanding era Pak Lah yang tidak mendapat sokongan daripada Perdana Menteri sebelumnya. Bukan sahaja tidak mendapat sokongan malahan beliau selalu dikritik oleh mantan Perdana Menteri itu.
4 Sokongan yang beliau terima itu bukan tidak ada sebabnya.Bukankah beliau mengambil pendekatan berbaik-baik dengan kedua-dua mantan Perdana Menteri itu sambil mengiktiraf sumbangan kedua-duanya.
5 Beliau dilihat memberi peranan yang sewajarnya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah sambil membuka seluas-luasnya pintu pandangan daripada kedua-dua tokoh tersebut.
6 Belum jelas kepada awam yang beliau pernah mengkritik kedua-duanya, sebaliknya beliau dilihat mengambil pendekatan pendidikan dengan meletakkan diri beliau sebagai seorang murid yang menghormati guru-guru yang pernah berjasa kepadanya.
7 Malahan dalam beberapa perkara beliau masih mengekalkan legasi dan idea yang dibawa oleh kedua-dua mantan Perdana Menteri itu. Buktinya beliau masih mengekalkan Wawasan 2020 hasil cetusan Tun Dr Mahathir bagi meletakkan matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.
8 Ketika penggunaan Bahasa Inggeris akan dimansuhkan dalam pembelajaran Sains dan Matematik beliau masih mahu mengekalkan Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia keempat itu tetapi dalam bentuk dan semangat yang baru.
9 Sementara pendekatan Islam Hadhari tidak kedengaran lagi dalam era-Najib, namun idea Pak Lah tentang modal insan nampaknya dilihat masih relevan dan selalu disebut dalam ucapan-ucapan beliau.
10 DS Najib memberitahu yang beliau bersedia mengambil keputusan yang sukar sekalipun tidak begitu disenangi oleh pihak-pihak tertentu.
11 Pendirian DS Najib itu mengingatkan saya kepada prinsip Tun Dr Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri iaitu bersedia menjadi tidak popular asalkan sesuatu yang dibuatnya itu menguntungkan rakyat dan negara.
12 Nampaknya kedua-duanya, Najib dan Mahathir bersedia dikritik dan menjadi tidak popular asalkan negara dan rakyat mendapat manfaatnya.
13 Sebagai contoh, DS Najib boleh sahaja popular dan disanjung di kalangan orang Melayu jika beliau memilih untuk meletakkan calon daripada UMNO semasa PRK Hulu Selangor yang lalu memandangkan pengundi Melayu merupakan kumpulan majoriti di situ.
14 Tetapi ternyata beliau tidak mengambil jalan mudah kerana baginya jika ia melihat jalan mudah seperti dilihat oleh ramai orang itu sebenarnya memungkinkan jalan sukar bagi BN untuk menang di kawasan itu.
15 Najib harus membuktikan ia adalah Perdana Menteri bagi 1Malaysia bukan sekadar ketua bagi suatu kaum. Inilah masanya konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan perlu dibuktikan oleh beliau.
16 Maka pertimbangan beliau ialah dengan meletakkan calon yang menjadi keutamaan rakyat, bukannya calon yang dituntut oleh satu-satu kaum atau satu-satu parti. Ternyata pertimbangan beliau apabila memilih Kamalanathan berbaloi apabila calon itu memenangi PRK Hulu Selangor tempoh hari.
17 Saya percaya dan yakin jika momentum dan gaya urus tadbir negara oleh DS Najib ini dapat dikekalkan, Perdana Menteri itu akan jauh lebih berjaya daripada kedua-dua Perdana Menteri sebelumnya.
18 Jika Tun Abdullah dilihat lebih berjaya semasa aman dan Tun Mahathir pula dikatakan lebih berjaya semasa krisis, DS Najib pula dilihat akan berjaya dalam kedua-dua keadaan, sama ada semasa aman mahupun semasa krisis.
Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " DS Mohd Najib: Suatu Perbandingan & Penghargaan "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply