Jika kita kata yang selama ini kita tidak pernah bersatu, inilah masanya kita bersatu.Jika kita mendakwa yang selama ini tiada sebab untuk kita bersatu inilah sebabnya-isu keamanan sejagat yang dinafikan oleh Israel.
Nampaknya rakyat Malaysia pelbagai parti dan aliran boleh sahaja bersatu tanpa syarat pada suatu isu yang boleh dikongsi bersama. Isu berkaitan keamanan sejagat seperti kezaliman melampau oleh pihak zionis Israel pimpinan Perdana Menteri Netanyahu nampaknya boleh menyatukan suara rakyat Malaysia.
Sejak bahang PRU kali ke-12, 2008 jarang-jarang benar kita di Malaysia dapat bertenang agak lama dan mencapai kesepakatan seperti semalam. Ini menunjukkan bukan tidak ada cara dan punca yang boleh menyebabkan kita bersatu suara sekalipun di hati hanya Tuhan yang tahu.
Isu keganasan yang dilakukan oleh Israel ke atas sukarelawan dunia, termasuk dari Malaysia yang ingin menghantar bantuan ke Gaza nampaknya berupaya mendiamkan sejenak politiking tempatan yang seolah-olah tidak ada penghujungnya.
Kalau dahulu mereka merasakan Israel itu hanya membahayakan penduduk Palestine namun apa yang terjadi ke atas misi bantuan ke Gaza itu membuka mata mereka bahawa Israel boleh sahaja bertindak ganas ke atas mana-mana individu.
Kejadian keganasan yang dilakukan oleh pihak Israel ke atas sukarelawan di atas kapal yang membawa bantuan ke Gaza sekalipun kapal itu berada di perairan antarabangsa membuka mata dunia bahawa inilah sebenarnya Israel; suatu bangsa yang diturunkan banyak Nabi kerana kedegilan mereka.
Memang benar bantuan masih belum sampai ke Gaza dan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi tersebut terpaksa berpatah balik dan pulang ke Malaysia.Namun itu bukan bererti kita tunduk kepada Israel dan berpuas hati setakat itu.
Bagi saya apa yang berlaku sudah menjadi permulaan yang baik bagi membuka mata dunia terhadap keganasan Israel.Percayalah lebih banyak simpati yang akan datang dan lebih banyak bantuan akan diberikan kepada masyarakat di Gaza selepas ini.
Dengan misi tersebut dunia dapat melihat betapa Malaysia berpegang teguh dengan prinsip keamanan dan kebebasan yang selama ini dipertahankan. Ia menyerlahkan lagi sikap Malaysia sebagai sebuah negara yang berkecuali dan cintakan keamanan sejagat.
Hakcipta Abd Bashid Harun











1 user commented in " Gagal Menyampaikan Bantuan Tetapi Berjaya Membuka Mata Dunia "
Follow-up comment rss or Leave a Trackback[…] » Gagal Menyampaikan Bantuan Tetapi Berjaya Membuka Mata Dunia … […]
Leave A Reply