Beberapa orang pelajar datang menemui saya dan bertanyakan tentang ISA. Saya beritahu mereka bahawa ISA hanyalah satu daripada alat ciptaan pemimpin untuk memudahkan urus tadbir manusia yang mempunyai kebijaksanaan luar biasa di negara ini.

Kebijaksanaan luar biasa? Ya mereka selalu bertindak menurut selera mereka sahaja dan menganggap tindakan mereka lebih betul daripada orang lain malahan perlembagaan dan undang-undang yang ada pun tidak sebijak mereka.

ISA melambangkan kreativiti pemimpin berdepan dengan masalah-masalah manusia yang berada di bawahnya. ISA adalah persoalan bagaimana manusia mengurus manusia yang tidak makan undang-undang.

Tidak cukupkah dengan undang-undang tanya salah seorang daripada mereka. Saya beritahu mereka bahawa undang-undang tidak sesuai untuk berdepan dengan orang-orang seperti ini. Mereka sudah biasa mempermainkan undang-undang dan menganggap cara-cara mereka sendiri lebih bagus daripada undang-undang sedia ada.Jadi sebagai jawapannya, individu seperti ini hanya ISA yang paling sesuai untuk mereka.

Tidakkah itu zalim? Mereka kata ISA zalim, tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri.Mereka bencikan ISA, tetapi tindak-tanduk mereka seolah-olah memberi gambaran yang mereka sukakan ISA atau merindui ISA. Kerajaan hanya beri apa yang mereka inginkan. Ternyata mereka memang mengingininya dilihat daripada apa yang mereka telah buat untuk negara ini.

Jika dilihat daripada jumlah tangkapan ISA berbanding jumlah penduduk di negara ini, ternyata ISA digunakan dengan cukup hati-hati dan hanya apabila perlu.

Sekali lagi saya mengulanginya bahawa ada orang yang terlalu bijak yang menganggap mereka mengatasi undang-undang dan perlembagaan, maka ISA amat sesuai untuk orang-orang seperti ini. Ini termasuklah individu yang melihat semua yang lain salah dan dia sahaja yang betul.

Hakcipta GuruBashid