1 Jika diikutkan perasaan marah mahu sahaja kita menunjukkan perlakuan paling geram dengan bertindak paling ganas dengan menyamar sebagai halimunan lalu menyelinap ke dalam kapal terbang yang menuju ke Israel.
2 Sebaik-baik sahaja sampai di ruang angkasa negara itu kita pun terjun bersama payung terjun yang juga bersifat halimunan lalu menyusup masuk ke tempat-tempat strategik di negara itu lalu menyembelih orang-orang Israel seorang demi seorang terutama pemimpin dan tenteranya.
3 Tetapi itu hanya angan-angan sebahagian kecil dalam kalangan kita terhadap Israel. Realitinya kita tak boleh berbuat apa-apa selain berhimpun beramai-ramai memegang sepanduk anti-Israel, menyembur api kemarahan dari meriam mulut dan kemudian membakar atau memijak-mijak bendera Israel.
4 Kemarahan kita atas tindakan Israel menahan dan membunuh beberapa orang sukarelawan dalam misi menghantar bantuan ke Gaza baru-baru ini jangan sampai melupakan matlamat sebenar kita untuk membantu saudara-saudara kita yang sedang berjuang untuk terus hidup di bumi anbiya’ itu. Jalan harus dicari agar bukan sahaja bantuan ini malahan bantuan-bantuan lain pada masa akan datang akan berjaya sampai ke sasaran, iaitu ke tangan masyarakat di Gaza.
5 Tindakan berdemonstrasi dan melaungkan slogan anti-Israel tidak salah malahan neutral untuk menunjukkan rasa marah kita sebagai rakyat jalanan, tetapi itu bukanlah cara sebenar yang terbaik antara kita menangani isu-isu yang berkaitan Palestine. Sebaliknya tindakan bersifat sementara untuk memuaskan diri sendiri itu hanya dilakukan untuk menenangkan hati sendiri dengan menggunakan alasan yang noble bagi memenangi hati masyarakat antarabangsa bahawa kita perlu bersatu dan bekerjasama dalam isu keamanan global.
6 Tindakan berdemonstrasi itu juga tidak lebih daripada sekadar simbol kesepakatan kita dalam melahirkan ketidaksetujuan ke atas sebarang bentuk keganasan dan kezaliman tanpa peduli ia datang dari mana, siapa yang melakukannya dan siapa pula yang menjadi mangsanya.
7 Sekarang keutamaan kita ialah keselamatan 12 anggota sukarelawan dari Malaysia yang diculik itu dan sukarelawan-sukarelawan yang mengekorinya di dalam kapal-kapal bantuan yang lain.
8 Tindakan Perdana Menteri, DS Mohd Najib Tun Razak mengarahkan Wisma Putra mengambil langkah-langkah perlu untuk menyelamatkan 12 sukarelawan yang ditahan oleh pihak tentera Israel itu adalah tepat. Itulah tindakan segera yang mesti kita lakukan sekarang.
9 Malahan jika keadaan semakin meruncing dan menjadi tidak selamat bagi sukarelawan negara kita yang kemudian, tindakan menghalang mereka daripada terus menyerahkan kepala untuk ditetas kepada pihak tentera Israel harus dihentikan.
10 Kita menjalankan misi dengan niat keamanan untuk menghulurkan sebuah bantuan,bukan ketenteraan tetapi jika yang menyambutnya berniat perang untuk kita, kita tidak patut kehilangan rakyat kita hanya untuk itu. Lainlah jika yang pergi untuk berperang.
11 Jika perlu perbincangan secara langsung dengan kerajaan Israel wajar diadakan dalam kadar segera. Kita selalu memikirkan agar masyarakat antarabangsa memberikan tekanan ke atas Israel. Itulah pola tindakan kebanyakan negara selama ini apabila berdepan dengan isu-isu seperti ini.
12 Tetapi yang kita hadapi ialah Israel yang terkenal dengan kedegilan sejak zaman nabi-nabi yang lalu.Mengapakah kita tidak memikirkan cara yang sebaliknya untuk berhadapan dengan mereka agar kita tidak rugi apa-apa dan bantuan juga sampai kepada sasaran.Caranya ialah kita sendiri yang berbincang secara baik dengan kerajaan Israel agar bantuan yang sudah sedia ada itu sampai ke tangan penduduk Gaza. Bukankah itu menjadi matlamat pertama dan utama misi bantuan ke Gaza itu?
13 Jika agak sukar melakukan perundingan secara langsung dengan Israel, kita gunakan sekutu Israel yang paling kuat iaitu Amerika Syarikat. Rekod dan amalan kita yang berkecuali, mementingkan keamanan, kerjasama sejagat dan hubungan baik kita dengan Obama serta polisi Obama sendiri adalah antara faktor yang dapat digunakan sebaik-baiknya dan lebih memihak kepada kita.
14 Saya yakin pendekatan ini jauh lebih baik daripada menggunakan sebarang tekanan ke atas Israel.Biarkan masyarakat antarabangsa memberi tekanan. Dan kita juga tentu tidak dapat menghalang orang awam di jalanan melakukan demonstrasi.
15 Tetapi di peringkat kerajaan cara hubungan yang penuh perundingan dan diplomasi itulah yang terbaik. Bukankah cara itu yang kita amalkan selama ini.Yang penting matlamat kita membawa misi keamanan dan menghulurkan bantuan tercapai. Tetapi apa apa pun keselamatan rakyat kita yang sedang ditahan pihak tentera Israel itulah keutamaan kita.
Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " Keutamaan Sekarang Ialah Keselamatan Rakyat Kita "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply