Tidak ada yang kekal di dunia ini. UMNO pun tidak akan kekal. Tetapi riwayatnya tidak perlu dipendekkan kerana kita tidak berhati-hati, tidak cekap dan gila dengan keuntungan yang cepat, ” Mahathir bin Mohamad

1. APABILA Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa agenda belum selesai, salah satunya ialah yang berkaitan rasuah atau lebih tepat lagi rasuah dalam UMNO.

2. Apabila Tun mendakwa Melayu mudah lupa, salah satu daripadanya ialah orang Melayu, khususnya orang UMNO mudah lupa kepada rasuah dan akibat buruknya kepada masyarakat dan negara.

3. Apabila YAB Dato Seri Najib Tun Razak menjelaskan yang Mahathir sendiri pun gagal membendung gejala rasuah hinggakan membuatkan mantan perdana menteri itu kecewa memang ada kebenarannya.

4. Kekecewaan Mahathir mengenai amalan rasuah dan keseriusan beliau untuk memerangi rasuah pada zaman pemerintahannya dapat diketahui dengan jelas melalui petikan ucapan beliau dalam Perhimpunan Agung Khas UMNO di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur pada 19 Jun 1994.

Ikuti sebahagian ucapan beliau itu di sini:
” Saya sedar bahawa dengan berkhutbah sahaja tidak akan menghasilkan masyarakat yang baik. Saya berucap berkenaan dengan rasuah ini dengan kesedaran bahawa amalan rasuah bukan senang untuk dihapuskan sama sekali.Saya menjelaskan perkara ini supaya kita lebih faham dan tidak boleh berkata bahawa kita tidak tahu begitu sekali buruknya rasuah.”

” Di zaman ini ramai yang suka mempertahankan penjenayah dan perbuatan-perbuatan yang salah. Kerap kedengaran kata-kata seperti ‘mereka miskin, mereka susah, mereka lemah, mereka tidak tahu, mereka terpaksa, mereka takut, masyarakat memang begitu, jika mereka tidak terima orang lain akan terima, pemberi yang salah, penerima yang salah’. Justeru itu kita jangan salahkan penjenayah, salahkan masyarakat, jangan kita hukum penjenayah, kita harus bersimpati dengan mereka ”

” Akhbar-akhbar dan televisyen pun akan membuat rencana dan laporan penyiasatan atau investigative reporting supaya masyarakat tidak cepat menyalahkan yang salah sebaliknya memahami masalah mereka dan sebabnya mereka melakukan kesalahan ”

” Pemberita-pemberita penyiasatan akan berkata, penjenayah perlu diberi simpati, bukan tekanan dan hukuman. Di Barat penjenayah yang dahsyat diberi kontrak yang bernilai tinggi untuk untuk menceritakan riwayat mereka supaya masyarakat faham dan bersimpati dengan mereka ”

” Apa sahaja yang dibuat oleh Barat, malangnya tidak lama selepas itu kita akan menirunya. Bukan sahaja rambut yang panjang dan subang yang dipakai oleh lelaki ditiru oleh belia kita tetapi juga yang dewasa pun terbawa-bawa dengan cara-cara Barat ”

” Parti UMNO bukan sebarangan parti politik. UMNO adalah parti yang memerintah. Kita telah memerintah sejak sebelum merdeka, tidak putus-putus. Pemimpin-pemimpin parti UMNO bukan sahaja memimpin parti tetapi juga kerajaan, di peringkat negeri dan di peringkat pusat, dan sebagai pemimpin kerajaan, kita berkuasa ”

Jika kita terima politik wang dalam UMNO, jika rasuah menjadi budaya bagi parti UMNO, jika pemimpin-pemimpin kita mendapat tempat melalui sogokan, kita memperolehi kerajaan yang dipenuhi dan dipimpin oleh penjenayah rasuah

” Bolehkah kita percaya pemimpin seperti ini akan memerintah dengan bijak, lurus dan adil? Bolehkah kita yakin negara kita akan maju? Bolehkah kita yakin orang Melayu dan bumiputera lain tidak akan dijual oleh pemimpin-pemimpin yang kita pilih? Hanya yang tidak siuman sahaja yang akan percaya pemerintahan oleh penjenayah rasuah akan membawa kebahagiaan kepada negara dan kepada kita ”

” Saya sedar dengan tumpuan yang kita beri kepada masalah politik wang dalam parti UMNO, parti-parti lawan akan mendapat isu untuk menyerang kita. Tentu ada antara kita yang berpendapat lebih baik jika kita tidak heboh sangat tentang masalah ini ”

Seterusnya beliau berkata:

” Saya sedar bahawa bagi mereka yang gemar menerima atau memberi sogokan, mereka beranggapan mustahil orang lain tidak tidak seperti mereka. Mustahil ada orang yang lurus. Saya sedar saya juga terdedah kepada tuduhan dan penafian oleh saya tidak akan dipercayai ”

” Saya masih ingat di waktu saya dan anggota-anggota kerajaan yang lain di peringkat pusat dan negeri memotong gaji kerana kerajaan kekurangan wang, ramai yang berkata: Mereka tentu boleh kerana mereka dapat banyak wang sogokan ”

” Walaupun saya kecewa dengan sangkaan buruk ini saya tidak akan bertanggungjawab jika kerananya saya tidak cuba memperbaiki keadaan yang akan menghancurkan kita ”

Seterusnya beliau mengingatkan:

Sama ada UMNO akan terus memerintah sehingga tahun 2020 sekurang-kurangnya, sama ada tahun 2020 akan memperlihatkan Malaysia mencapai matlamatnya, sama ada UMNO, orang Melayu dan bumiputera lain, serta negara Malaysia dihormati dan dimuliakan, dan sama ada kita boleh berdiri tinggi di kalangan bangsa-bangsa lain di dunia bergantung kepada pembasmian politik wang dalam UMNO “.