” Kalau dahulu mereka hanya berani bersuara di luar pagar rumah kita, itu pun secara berbisik-bisik sesama mereka, tetapi sekarang mereka sudah berani menjerit ke arah kita dan di dalam rumah kita sendiri. Itu pun kita masih boleh mendiamkan diri,” GuruBashid
1. SAYA suka memberi amaran kepada diri sendiri dan rakan-rakan seperjuangan yang mereka ini sudah keterlaluan. Mereka tidak memilih lagi apa isu yang mereka ingin bangkitkan Asalkan ianya berkaitan dengan kepentingan umat Islam dan orang Melayu mereka akan bangkitkan. Lepas satu, satu.
2. Tunjukkan kepada saya apa lagi yang kita ada dan amalkan selama ini yang mereka tidak pertikaikan. Hampir semuanya. Permainan siapakah ini?
3. Kalau dahulu mereka hanya berani bersuara di luar pagar rumah kita, itu pun secara berbisik-bisik sesama mereka, tetapi sekarang mereka sudah berani menjerit ke arah kita dan di dalam rumah kita sendiri.
4. Malahan lebih melampau lagi mereka menghina rumah kita dan segala yang telah menjadi milik kita, termasuk apa yang menjadi pakaian kita selama ini.
5. Mereka seolah-olah memaksa kita menanggalkan pakaian kita sendiri dan serentak dengan itu mereka menuntut kita menggantikan pakaian mereka dengan pakaian yang lebih baru dan lebih mahal. Ini sudah keterlaluan.
6. Yang anehnya walaupun isu yang dibangkitkan itu berkaitan maruah agama islam dan orang Melayu yang tidak pernah dibangkitkan sebelum ini benar-benar terkena batang hidung kita sendiri, namun sebahagian kita kerana kepentingan politik sanggup mendiamkan diri dan tidak berbuat apa-apa.
7. Segelintir daripadanya sanggup menyokong tindakan mereka itu atas nama hak asasi, kebebasan bersuara dan demokrasi.
8. Demokrasi bukan lagi menyuburkan semangat integrasi dan persefahaman antara kaum yang telah terbina sekian lama, tetapi sudah dikacaukan dengan tekanan minoriti berkepentingan dengan menggunakan cara-cara yang gila.
9. Suatu ketika dahulu mereka mempertikaikan sistem demokrasi yang kita amalkan konon-kononnya tidak benar-benar demokratik, tetapi apabila kepemimpinan Pak Lah membuka jendela demokrasi lebih luas, mereka menggunakan jendela demokrasi yang sama untuk memukul kita kembali.
10. Peliknya atas alasan demokrasi yang dahulunya disangsikan turut digunakan untuk menghalalkan semua perbuatan mereka.
11. Nampaknya mereka sahaja yang perlukan demokrasi, bukan kita. Demokrasi jenis apakah ini kalau bukan untuk kepentingan diri dan minoriti yang berkepentingan dan mempunyai niat jahat.
12. Isu-isu yang berkaitan dengan diri mereka, mereka tuntut secara berlebihan, tetapi perkara yang berkaitan dengan bangsa kita juga mereka ingin menghalang dan menghilangkannya. Mereka sedang menelanjangkan kita dan pada masa yang sama mereka meminta kita diam.
13. Inilah minoriti yang memandang semua yang kerajaan buat salah dan mereka sahaja yang betul.
14. Siapakah yang berupaya berdepan dengan mereka ini dan menguasai situasi seperti ini? Adakah nelayan kecil, penoreh getah, peniaga kedai runcit, pekerja kilang atau ahli-ahli UMNO di peringkat cawangan.
15. Apalah marhaenes ini boleh lakukan selain melihat dengan penuh kecelaruan dan ketidaktentuan yang sedang berlaku ke atas bangsa dan agama mereka sendiri.
16. Minoriti yang bersifat gerombolan ini cukup bijak mencuri waktu. Bagai menanggguk di air yang keruh mereka memukul kita ketika kita sedang sakit. Mulut-mulut mereka bersama kita, tetapi tangan-tangan mereka bersama musuh-musuh kita.
17. Adakah kita akan akan membiarkan keadaan ini berterusan sehingga mereka meletakkan telur-telur yang tidak akan menetas di atas kepala kita. Tetapi siapakah kita untuk bertindak?
18. Siapakah lagi yang diharapkan kalau bukan seorang pemimpin yang kuat dan tegas. Pemimpin yang mempunyai pertimbangan berasaskan kebijaksanaan dan kematangan melebihi perasaan dan tekanan. Pemimpin yang benar-benar menyerap masuk semangat perlembagaan dan perkongsian kuasa serta kontrak sosial. Dan pemimpin itu mesti ada pada semua komponen parti BN, bukan sahaja dalam UMNO.
19. Jadi bagi kita umat Melayu dalam situasi yang dirasakan sudah tidak terselamat seperti sekarang ini apa lagi pilihan yang kita ada selain memperkukuhkan parti yang selama ini berjasa kepada kita dan menjadi tunjang kepada orang Melayu dan agama Islam.
20. Sebelum terlambat, pilihlah ketua-ketua kita dalam bulan Mac ini yang TANGKAS dalam tindakan, TEGAS dalam keputusan, tidak mudah cemas dalam apa jua keadaan, CERDAS dalam fikiran, KERAS berpaut pada perlembagaan, JELAS tentang masa depan, IKHLAS dan penuh kejujuran, BERGEGAS dalam memenuhi janji dan jemputan, selain PANTAS memintas segala tohmahan dari luar dan dalam, sesekali PEDAS dalam ungkapan, tidak mudah lemas dalam pujian dan tidak rimas dengan kritikan.
Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " Mereka Ini Sudah Keterlaluan "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply