Soalan: Bagaimana cikgu melihat kerjasama antara UMNO dan PAS?
Yang mula-mula mengajak kita berkerjasama itu PAS. Mereka yang mula-mula menghulurkan hujung tali perpaduan itu kepada kita, dan apabila kita serius mahu menyambutnya mereka terus menyentap tali itu daripada kita. Sekarang lebih dahsyat lagi. Mereka gunakan hujung tali yang satu lagi untuk memukul kita. Selepas itu mereka mentertawakan kita.Mereka seolah-olah mahu bermain-main tali dengan kita.Mereka terlupa ini bukan lagi masanya bagi bangsa Melayu dan umat Islam bermain-main. Wajarkah kita bermain-main dengan tali perpaduan yang bakal menentukan jatuh bangunnya bangsa Melayu pada masa akan datang. Dan UMNO sejak dulu tidak pernah menjadikan perpaduan sebagai barang permainan. UMNO serius dalam usahanya untuk menyatupadukan bangsa Melayu. Usaha ini bukan baru tetapi telah lama dilakukan oleh UMNO. Sebab itu walau apa pun tuduhan yang dibuat ke atas UMNO, UMNO tetap mahu melakukannya. UMNO menerima ini sebagai tanggungjawab bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini. Jika berlaku apa-apa ke atas bangsa ini UMNO tidak mahu orang Melayu menyalahkannya hanya disebabkan parti Melayu terbesar ini tidak pernah mengingatkan mereka tentang perpaduan umat Melayu dan akibatnya jika Melayu berpecah.
Soalan: Saya setuju dengan cikgu, ketika PAS melihat perpaduan sebagai isu, UMNO pula melihatnya sebagai isi yang menjadi agenda perjuangan. Apakah pula pandangan cikgu dalam hal ini?
Sebenarnya bukan dalam hal perpaduan sahaja yang PAS jadikan isu. Banyak perkara yang sepatutnya menjadi agenda telah bertukar menjadi isu sahaja buat mereka. Ketika UMNO bersungguh-sungguh menawarkan isi kepada rakyatnya, PAS pula sering mengajak orang ramai bermain dengan isu-isu. Isi bagi kerajaan tiba-tiba sahaja bertukar menjadi isu bagi pembangkang.
Soalan: Bukankah cara begini memang menjadi kegemaran mereka?
Bukan sahaja kegemaran mereka, tetapi telah menjadi kemahiran mereka juga. Sebabnya ini sahaja kemahiran yang mereka ada. Tunjukkan kepada saaya, apakah perkara yang tidak menjadi isu buat pembangkang. Inilah permainan orang yang berjiwa kerdil, tetapi bermulut besar. Saya berani kata orang yang gemar bermain dengan isu sebenarnya tidak serius dalam perjuangan bangsa dan negara. Nasib dan jatuh bangun bangsa dan negara ini tidak patut menjadi bahan permainan, kecuali mereka yang ada agenda peribadi. Bagi yang ada agenda peribadi, matlamat peribadi itulah agenda utama, bukan sangat agenda bangsa dan umat Islam. Apa yang nak jadi pada bangsa dan negara ini jadilah. Sebab itulah mereka melalaikan rakyat dengan isu-isu ini. Mereka seolah-olah mahu menjadikan rakyat terhibur dengan isu-isu yang mereka bawa. Sebab itu sebelum rakyat jemu dengan sesuatu isu, mereka bawa pula isu baru. Jadi tak habis-habislah kerja pembangkang dengan isu-isu mereka. Rakyat seolah-olah mahu dibuai dengan isu-isu ini sampai bermimpi mengenainya supaya mereka tidak sempat untuk berfikir secara seius mengenai isi-isi pokok dan agenda utama bangsa dan negara.
Soalan: Bagaimana halnya dengan perpaduan?
Perpaduan yang sedang serius mahu direalisasikan oleh UMNO tidak sepatutnya dijadikan isu oleh PAS. Perpaduan adalah perkara pokok dan itulah yang sepatutnya menjadi isi dan agenda perjuangan bangsa Melayu. Inilah yang sedang kita usahakan sampai ianya menjadi kenyataan. Mungkin ada di kalangan kita yang melihat ini sebagai kerjasama antara PAS dan UMNO, tetapi bagi saya kerjasama itu mempunyai kesan akhirnya ke atas perpaduan orang Melayu seluruhnya, bukan setakat perpaduan dua parti itu sahaja.
Soalan: Tetapi PAS semacam tidak serius mahukan perpaduan. Ada prasyarat yang diletakkan, terutamanya oleh Nik Aziz. Tidakkah ini menjadi penghalang kepada usaha perpaduan ini?
Saya tidak percaya PAS dan ahli-ahlinya menghalang usaha yang murni ini. Siapakah di hati kecilnya yang tidak mahu orang Melayu bersatu sebab itu akan menguntungkan kita juga. Yang kedengaran hanyalah dua tiga kerat dalam parti itu yang sering bersuara sinis menentang usaha perpaduan. Tetapi antara dua tiga kerat itu yang lebih kerap menentang ialah Nik Aziz. Tak adillah kalau kita cepat-capat membuat kesimpulan yang penentangan Nik Aziz ini sebagai penentangan PAS. Tentangan oleh Nik Aziz seorang tidak sepatutnya menghalang usaha-usaha perpaduan diteruskan. Saya yakin seperti juga ahli UMNO, majoriti ahli PAS dan orang Melayu yang bukan dalam aliran politik mahukan perpaduan.
Soalan: Bagaimana dengan faktor Nik Aziz?
Jika Nik Aziz menjadi penghalangnya kita patut membiarkan sahaja ketua dalam mangkuk Kelantan yang seorang ini. Biarkan dia terjun dengan mangkuk-mangkuknya. Jangan disebabkan dia seorang, usaha perpaduan ini tergendala. Kalau siapa tak suruh pun UMNO tetap akan buat sebab ini memang disebut dalam al-Quran.Usaha perpaduan yang sedang serius dijalankan ini adalah dengan PAS bukan dengan Nik Aziz. Kalau dia tak mahu, itu masalah dia. Masih ramai yang mahu perkara ini menjadi kenyataan. Kepada mereka inilah usaha-usaha perpaduan ini sedang dilakukan.
Soalan: Kalau gagal juga?
Belum tahu gagal jika tidak diusahakan dengan bersungguh-sungguh. Saya yakin kerjasama PAS dan UMNO akan berlaku dan turutan dari itu perpaduan bangsa Melayu akan menjadi kenyataan juga akhirnya. Bila masanya, itu susah sikit nak agak. Tetapi yang pentingnya ini kena cepat berlaku. Usaha kena dibuat dari sekarang. Ya sekarang juga. Kita tak boleh tunggu lebih lama sebab lagi lama perpaduan antara orang Melayu lagi parah. Jika gagal cara ini, kita gunakan cara lain. Tuhan bagi kita banyak jalan, banyak cara. Tuhan tidak zalim dengan hanya memberikan kita satu cara sahaja untuk menyelesaikan masalah-masalah kita di dunia ini. Kalau kita sudah tahu yang cara kita gunakan ini gagal, kita kenalah bertukar kepada cara-cara lain. Kalau kita masih guna cara yang sama sedangkan kita tahu cara itu kurang berjaya, kitalah yang bodoh. Sampai bila pun matlamat untuk melihat orang Melayu bersatu dan kuat tidak akan berjaya.
Soalan: Pada pandangan cikgu apakah sebabnya PAS tidak serius mahukan perpaduan bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini?
Silap tu sayang. Bukankah saya sudah kata tadi, bukan PAS yang tidak mahu atau tidak serius mahu melihat orang Melayu bersatu, tetapi dua tiga kerat di kalangan pemimpin parti itu.Saya tidak tahu apa sebenarnya yang ada dalam hati manusia dua tiga kerat itu. Yang keluar daripada mulut mereka memanglah kerana mereka mahukan UMNO menjalankan dasar Islam. Tetapi saya memang tak berapa percaya dengan apa yang keluar daripada mulut mereka. Sebabnya saya selalu dengar apa yang keluar daripada mulut mereka tak pernah sama dengan apa yang mereka buat. Malahan perkataan yang pernah keluar daripada mulut yang sama pun tak pernah sama. Hari ini mulut mereka kata tentang Islam, tetapi esoknya mulut yang sama memaki hamun, mencarut dan memfitnah orang Islam yang lain. Bila bercakap dengan orang UMNO, mereka kata tentang hudud siap dengan nasnya sekali, tetapi apabila sesama mereka atau dalam pakatan mereka, bukan hudud lagi yang diperkatakan. Tetapi yang keluar daripada mulut mereka adalah tentang undi, pilihan raya, kawasan, wakil rakyat, wang, harta, balak dan berbagai-bagai lagi cerita tentang dunia dan politik. Depan UMNO bukan main lagi mereka dengan keras berkata kembalilah kepada perlembagaan Islam, tetapi sesama mereka tak kedengaran pula perkara-perkara itu.
Soalan: Jadi maksud cikgu, mereka ini cakap lain, buat lain?
Memang itulah yang saya maksudkan. Mereka hanya mengeraskan suara ke arah kita konon-kononnya mereka sedang memperjuangkan Islam, dan kita dalam UMNO ini tak Islam. Anehnya apabila mereka kembali ke dalam kumpulan mereka yang mereka namakan pakatan itu, mereka menyepi tentang hal ini. Sesuatu yang mereka perjuangkan tidak kedengaran lagi dalam pakatan itu. Kalau kedengaran pun sekali sekala, itu pun sipi-sipi takut dibelasah oleh sekutu mereka DAP. Jadi macam mana kita nak percaya mereka, sebab yang keluar daripada mulut mereka tak pernah sama. Berbeza wadah berbeza cakap.Saya rasa mereka menyebut tentang perjuangan Islam ni, jangan tidak saja. Jangan sampai penyokong-penyokong mereka kata yang mereka sudah lupa daripada landasan perjuangan yang asal disebabkan keenakan mereka di empuk kuasa.
Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " Perpaduan Bangsa Melayu: Siapa Sebenarnya Yang Bermain-Main? "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply