Apa khabar cawangan?
Apa khabar bahagian?
Sudah lama selesai pemilihan
Dah pun ada ketua gagah perkasa
Dah ada pemuda penuh tenaga
Dah ada wanita serikandi bangsa
Puteri pun tak kurang cantik jelita.

Sudahkah dibuat program penyatuan?
Sudahkah dibuat penambahbaikan?
Sudah adakah agenda perpaduan?
Sudah adakah tambahan keahlian?
Atau kerap meninggalkan kawasan
Untuk menghitung nilai sebuah pertemuan
Bagi memenuhi tuntutan si tuan
Yang asyik masyuk dibuai mimpi pemilihan.

Untuk apa sebenarnya cawangan ini?
Untuk apa sebenarnya bahagian ini?
Untuk apa sebenarnya pertubuhan ini?
Untuk siapa sebenarnya parti ini?
Kepada siapa sebenarnya perkhidmatan ini?

Siapa yang peduli semua ini
jika bergerak tanpa wang tanpa sokongan
tanpa bantuan tanpa perancangan
tanpa agenda parti yang menjadi nadi
tanpa bangunan milik sendiri
dan hanya bising di kedai kopi
atau berdegar di ruang lobi.

Hentikanlah kesibukan dek pemilihan
kembalilah ke pangkal jalan
bukannya ke pangkal lengan
dengan meletakkan keutamaan
kepada parti yang menjadi nadi
yang tanpanya lebih baik mati.

Inginku ulang sebuah pertanyaan
Setelah berbulan selesai pemilihan
Di peringkat cawangan mahupun bahagian
Sudah bertambahkah ahli-ahli kita?
Sudah kukuhkah perpaduan kita?
Sudah eratkah persaudaraan kita?

Atau
Sudah penuhkah kocek-kocek kita?

Nukilan Abd Bashid Harun