1. Mereka menyuruh saya mengikut al-Quran dan as-Sunnah seolah-olah mereka lebih sunni daripada saya. Lebih dari itu di tangan mereka, mereka menentukan siapa di kalangan kita ahli neraka dan siapa pula ahli syurga. Mereka mendakwa sesiapa yang bersama mereka mulia dan yang tidak bersama mereka hina.

2. Bagaimana saya boleh mempercayai mereka yang seperti ini. Anda yang selalu bercakap tentang agama dengan berdegar-degar tetapi dari segi perkataan yang anda keluarkan dan perbuatan yang anda tunjukkan tidak dapat dijadikan contoh, malahan dalam keadaan tertentu begitu mengelirukan dan lebih buruk daripada apa yang anda sangka terhadap kami.

3. Itu dalam hal-hal yang bersangkutan agama. Dalam hal pemerintahan dan bernegara anda dan parti anda ternyata lebih gagal lagi. Apa yang anda tahu hanyalah menyuap rakyat di negeri yang anda tadbir dengan ceramah-ceramah anda. Anda memaksa kami mengunyah dan menelan ceramah-ceramah anda.

4. Apabila kami diam daripada mengungkapkan ayat-ayat Al-Quran di khalayak dan tidak memanggil anda dengan pelbagai gelaran buruk sebagaimana anda memanggil kami bukan bererti kami salah dan anda lebih islamik daripada kami.

5. Kami seperti juga amalan solehin yang lain berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk negara, agama dan rakyat Malaysia, tetapi yang memberi pahala atas usaha kami ialah Allah azzawajalla. Di Tangan-Nya lah segala keputusan dan hukuman. Apalah daya kami khalifah yang kerdil untuk menghukum sesama manusia, apatan lagi meletakkan si polan dan si polan sebagai hina, ahli neraka dan sesat.

6. Saya tidak nampak langsung anda dan parti anda sendiri sejak akhir-akhir ini lebih baik daripada kami dari segi sikap, amalan dan pemikiran. Tetapi untuk menjaga hubungan baik, kami selalu mengambil jalan pertengahan dengan tidak mempedulikan tuduhan anda terhadap kami sebab kami yakin Tuhan yang kami percaya dan yakini adalah Maha Menghakimi.

7. Sesungguhnya UMNO dan BN terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan untuk kesejahteraan rakyat dan mengekalkan keamanan negara ini. Tumpuan gerak kerja kami lebih banyak kepada persoalan membangunkan bangsa, agama dan negara, jadi kami hampir tiada masa untuk mencari salah orang lain.

8. Sesungguhnya kami sebagai makhluk Allah dan parti kami sebagai makhluk ciptaan manusia tidaklah menjadikan kami suci daripada segala kekotoran sebagaimana yang dijanjikan kepada ahlul bayt sehingga melayakkan kami untuk menjatuhkan hukuman sesama manusia dengan mendakwa sebahagian daripada saudara kami lebih buruk daripada kami.

9. Anda menuduh kami rasuah, sedangkan kami berusaha untuk memperbaikinya, tetapi tindakan pemimpin anda menjual beli ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan memanipulasi agama untuk kepentingan agama dan parti bukankah lebih buruk kesannya daripada rasuah.

10. Jika orang seperti anda melakukan rasuah atas nama agama, sedangkan pada masa yang sama anda mengenakan serban atau ketayap di kepala, dan menjaja ayat al-Quran di sana sini kesannya lebih buruk lagi terutama kepada mereka yang mudah terpesona dengan kata-kata manusia yang menjanjikan syurga.

11. Dengan cara pemimpin dan ulamak anda memanipulasi agama dan sikap mereka yang memandang rendah orang lain yang konon-kononnya tidak betul berbanding mereka bertambah kuatlah keyakinan saya bahawa anda dan parti anda bukanlah contoh yang baik untuk diikuti.

Hakcipta Abd Bashid Harun