Tajuk di atas merupakan kajian ringkas penulis berdasarkan kaedah pemerhatian dan soal selidik di sekolah beliau untuk tujuan melengkapkan pengajian dalam Master Kepengetuaan di Universiti Malaya suatu ketika dahulu. Satu kajian yang lebih menyeluruh dan terperinci adalah diperlukan untuk  mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang hal ini. Bagaimanakah seseorang pengetua harus menjalin hubungan dengan klien-klien mereka? Saya percaya bahawa ibu bapa, adalah kumpulan klien luaran yang paling penting berbanding klien-klien lain. Andaian saya ialah ibu bapa tidak begitu mengambil berat tentang aduan yang dikemukakan oleh anak mereka tentang sekolah. Tetapi apabila ibu bapa itu menceritakan semula apa yang didengar daripada anak mereka kepada ibu bapa yang lain, di sinilah pengaruh mereka boleh dilihat.Ibu bapa yang dimaksudkan di sini  ialah ibu atau bapa yang anak mereka sedang belajar di sekolah. Sebahagian daripada mereka pula mempunyai anak yang bakal meneruskan persekolahan mereka di sekolah kita. Mereka cenderung untuk menghantar anak-anak ke sekolah kita, tetapi mereka juga boleh tidak menghantarnya atas beberapa sebab. Di sinilah pentingnya sekolah menjalin hubungan luar yang baik.  Tindakan yang perlu diambil ialah dengan memasarkan sekolah secara strategik. Pemasaran strategik bermaksud cara-cara bagaimana sekolah berkomunikasi dan mempromosikan tujuan, nilai-nilai, perkhidmatan dan produk-produknya kepada para pelajar, ibu bapa, staf dan masyarakat umum secara aktif dan berkesan. Dalam konteks hubungan luar,  para pelajar yang dimaksudkan di sini ialah pelajar-pelajar dari sekolah luar, bakal pelajar (majoritinya tentu dari sekolah-sekolah feeder) dan bekas pelajar (dan jika mereka bergabung tentunya persatuan bekas pelajar). Elemen paling penting dalam pemasaran strategik sekolah ialah komunikasi yang efektif, iaitu komunikasi dua hala antara sekolah dengan klien-klien luar tadi. Pengetua mesti mempastikan bahawa slogan Pelanggan adalah keutamaan kami, bukan sekadar menjadi slogan, tetapi benar-benar menjadi amalan. Agenda utama ialah memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan-pelangan dalaman, iaitu pelajar yang sedang belajar di sekolah kita dalam usaha menarik lebih ramai pelajar terbaik memilih sekolah kita dan untuk kekal di dalamnya. Bakal-bakal pelajar  dan ibu bapa kepada bakal-bakal pelajar tersebut tidak akan mendapat gambaran sebenar tentang kebolehan dan kejayaan sekolah sehinggalah kita mampu menunjukkan kemampuan kita melalui peningkatan pencapaian keputusan peperiksaan am setiap tahun. Ibu bapa sebenarnya tidak begitu peduli terhadap pencapaian sekolah dalam sukan atau dalam bidang yang lain. Tetapi keutamaan mereka ialah adakah sekolah menunjukkan prestasi dan reputasi yang tinggi dalam  mendidik anak-anak mereka sehingga berjaya dalam peperiksaan. Jika mereka ingin anak-anak mereka berjaya dalam bidang sukan, lebih baiklah mereka masukkan anak mereka di sekolah sukan yang sedia wujud.