1 Mereka mengagak-agak tentang saya.Ketika saya menulis tentang idea dan gagasan, mereka pula menghabiskan banyak masa untuk menelah tentang saya. Mereka cukup bermuram durja ke atas saya setelah dakwaan mereka yang konon-kononnya saya menggunakan politik untuk reputasi dan prestasi jawatan saya.

2 Sebenarnya merekalah yang berpolitik (politiking) atau menggunakan politik. Saya menyokong kerajaan di mana saya sedang berada di dalamnya dan di bawah sistemnya. Saya wajib menyokong kerajaan yang saya bekerja dengannya. Menyokong kerajaan tidak sama dengan berpolitik.

3 Saya tidak mempromosikan mana-mana parti sebaliknya yang saya promosikan ialah kerajaan yang berjasa dan dasar-dasar yang telah dan sedang dilakukan olehnya. Sebagai guru sejarah, apa fakta yang tidak menyokong dan menceritakan kejayaan kerajaan dan pemimpinnya?

4 Inilah yang saya ajar di kelas sambil memperkukuhkannya dengan menerapkan nilai-nilai terpuji dan pengajaran di sebalik peristiwa sejarah. Tentulah ini bukan berpolitik jauh sekali menggunakan politik untuk sesuatu yang bersifat peribadi. Mendokong kerajaan dan dasar-dasarnya adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai kakitangan kerajaan dan membetulkan kesilapan mengenainya adalah tanggungjawab saya.

5 Saya ingin beritahu mereka ketika ramai orang cuba menghindari hal sebegini saya mengambilnya. Saya bersedia menjadi tidak popular dengan apa yang saya lakukan. Hanya ada satu yang menjadi tujuan saya iaitu melakukan semua ini demi agama, bangsa dan negara saya.

6 Saya tidak fikirkan orang lain akan menentukan rezeki saya sebab selama ini saya berkeyakinan bahawa rezeki saya; termasuk turun dan naik saya ditentukan oleh Allah hasil kerja-kerja saya, hubungan baik saya dan rezeki yang tertulis sejak azali buat saya.Saya tidak melakukan lebih atau kurang daripada apa yang telah ditentukan oleh Tuhan ke atas saya.

7 Saya ingin beritahu pengkritik-pengkritik saya yang saya tidak menggunakan politik tetapi menulis tentangnya sambil menyusup masuk idea dan gagasan saya tentang sesuatu yang saya fikirkan baik.

8 Saya tidak akan serik-serik melakukannya sebab selagi saya guru saya akan mendidik bangsa saya berteraskan semangat 1Malaysia bertunjangkan Rukun Negara dan tentunya tidak menyalahi Perlembagaan Negara.

9 Sebagai guru yang dahulunya pernah menjadi pelajar yang dididik oleh guru-guru saya yang berjasa dengan mata pelajaran Sejarah, Tatarakyat dan Agama Islam tidak ada gunanya saya berdiam diri sedangkan saya tahu ada perkara-perkara yang berlaku di sekeliling saya itu tidak baik untuk iklim negara ini.

10 Saya amat tahu risiko yang saya ambil. Saya tidak mahu membatasi penulisan dan peranan saya hanya kerana terikut-ikut dengan pendapat yang menyatakan bahawa guru harus memberi tumpuan dalam bidang pendidikan dan di kelas sedangkan saya memahami bahawa pendidikan itu dalam pengertian yang sangat luas.

11 Gaya cara saya ini lebih menimbulkan pertentangan dan rasa tidak puas hati golongan tertentu. Mereka memikirkan saya melakukannya dengan mudah sedangkan banyak risiko yang saya terpaksa tanggung termasuk tentangan pihak yang tidak menyukai saya dan yang tidak memahami apa yang saya lakukan.

12 Sesungguhnya saya tidak akan jemu-jemu menulis dan menyasarkan idea saya kepada sesiapa sahaja termasuk kepada kerajaan mahupun pembangkang. Ini saya lakukan dengan susah payah saya.

13 Ketahuilah bahawa saya akan menulis apa sahaja baik dalam bidang pendidikan mahupun politik; agama dan budaya dan lain-lain asalkan ia baik untuk agama, bangsa dan negara saya.

14 Jika anda suka anda boleh membacanya; jika anda tidak suka sarankan idea-idea bernas saudara untuk saya renungkan. Jika sekadar datang sekali sekala dengan pelbagai nama samaran lalu meludah saya, saya tidak akan menghormatinya.

Hakcipta Abd Bashid Harun