Assalamu’alaikum Tun,

1. Terima kasih yang tidak terhingga kepada tuan kerana tidak jemu-jemu memberi peringatan, amaran dan jalan. Terima kasih juga kerana telah merungkai kekusutan di sebalik isu PRK Kuala Terengganu yang pernah saya bangkitkan.

2. Jawapan yang diberikan serta alasan yang dikemukakan begitu konsisten seperti dahulu juga. Inilah antara sikap tuan yang menyebabkan penghormatan saya kepada tuan tidak pernah berkurangan.

3. Apa pun luahan rasa kebimbangan saya terhadap tindakan tuan sejak akhir-akhir ini tidak sedikit pun mengurangkan rasa hormat saya kepada tuan.Malahan apabila tuan menjawab tulisan saya, seorang ahli UMNO biasa dan penulis kerdil yang tidak berpengaruh, rasa hormat saya semakin bertambah kepada tuan. Banyak komen diajukan kepada tuan, tetapi tuan alert dan peka yang mana lebih perlu diberi perhatian.

4. Seperkara lagi tuan tidak pernah menggunakan bahasa kasar dalam tulisan mahupun percakapan tuan. Tetapi alasan yang jitu yang diberi begitu terkesan.

5. Saya sayangkan tuan selagi tuan sayangkan UMNO. Sungguhpun tuan berada di luar UMNO dan tidak menyebelahi mana-mana pihak namun jauh di sudut hati kecil saya tuan masih sayangkan parti ini dan tidak rela parti ini terkubur tanpa dibuat pembetulan yang berkesan.

6. Perhatian yang tuan berikan kepada UMNO dan keberanian tuan membuat teguran kepada pemimpin-pemimpin parti dan kesilapan beberapa keputusan yang diambil oleh pemimpin UMNO menjelaskan kepada saya bahawa tuan masih ambil berat terhadap parti ini dan mahu parti ini cepat-cepat berubah.

7. Jika orang sudah bencikan UMNO dia akan meninggalkannya terus tanpa mengambil tahu lagi apa yang akan berlaku kepada parti ini. Tetapi saya nampak tuan tidak begitu.

8. Tindakan tuan berada di luar UMNO tidak berupaya saya ikuti sebab tuan telah mengajar saya selama 22 tahun erti sebuah kesetiaan kepada parti. Tetapi biarlah tuan sahaja yang bertindak begitu sebab tuan sahaja yang mempunyai kekuatan untuk berbuat begitu.

9. Seperti yang selalu saya tuliskan dalam blog saya, tuan nampak apa yang saya tak nampak dan kalau nampak pun mungkin apa yang saya lihat tidak sama dengan apa yang tuan lihat.

10. Kepemimpinan tuan selama 22 tahun telah begitu terkesan di hati saya. Tuan sedikit sebanyak telah mempengaruhi cara berfikir dan bertindak saya. Tuan mengajar saya erti sebuah perjuangan.

11. Tetapi sayang saya kepada tuan tidak melebihi sayang saya kepada UMNO. Tuan mendakwa apa yang tuan lakukan kerana kecintaan tuan kepada UMNO dan bangsa Melayu. Begitu juga dengan saya, apa yang saya lakukan juga kerana sayang saya kepada UMNO. Cuma sayang tuan kepada UMNO besar kesannya kepada UMNO sedang sayang saya kepada UMNO hanyalah melukut di tepi gantang, tak menambah dan tak mengurang pun.

12. Meskipun dalam kedudukan yang begitu saya masih mahu berperanan membantu UMNO. Saya akan bantu walaupun bantuan itu hanya berupa sebaris ayat dan sekelumit idea.

13. Seperti juga tuan saya tak suka UMNO itu menjadi lemah. Terus terang saya nyatakan, hiba hati saya melihat apa yang berlaku kepada UMNO sekarang ini. Tetapi lemah atau kuat parti ini, bermasalah atau berpotensi parti ini saya akan pastikan, insya-Allah saya, isteri saya dan anak-anak saya kekal di dalamnya selama mana UMNO masih ada hayatnya.

14. Tak semua orang sukakan parti yang lemah.Tetapi kita tak boleh hanya suka kepada parti semasa ia kuat sahaja. Semasa parti ini kuat banyak sumbangan yang diberikan kepada kita sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kita banyak bergantung harapan kepadanya. Jadi dalam keadaan lemah, parti tidak wajar dipinggirkan sebaliknya ia perlu dibantu.

15. Saya percaya apa yang saya lakukan dalam kadar kemampuan saya adalah sama dengan apa yang tuan lakukan dalam kadar kemampuan tuan. Dalam tujuan untuk memperkukuhkan semula UMNO tidak ada bezanya antara tindakan si kecil seperti saya dengan tindakan negarawan ulung seperti tuan.

16. Mudah-mudahan kita tidak jemu-jemu membantu UMNO dengan cara masing-masing. Saya sayangkan tuan, tetapi saya lebih sayangkan UMNO. Saya percaya tuan juga lebih sayangkan UMNO daripada Pak Lah.

17. Jika Pak Lah menjadi puncanya seperti dakwaan tuan, saya berharap selepas Pak Lah berundur dari jawatan dalam parti dan kerajaan, sertailah semula UMNO. Jika tuan mempercayai Pak Lah melakukan kesilapan, saya percaya DS Najib tidak akan mengulangi kesilapan yang serupa. Tetapi bagi saya sendiri selagi Pak Lah menjadi Perdana Menteri saya saya tetap menghormati beliau sehinggalah beliau benar-benar mengundurkan diri.

Salam hormat,

Abd Bashid Harun