Saya selalu menasihati guru-guru saya dengan ungkapan berikut, “Jaga dulu diri kita”. Saya beritahu mereka bahawa semua prosedur dan tatacara yang sedia wujud adalah bertujuan menyelamatkan diri guru-guru walaupun pada asalnya semua itu digunakan untuk melindungi para pelajar.
Ada juga guru yang tidak sedar akan hal ini dengan memilih cara sendiri dalam melaksanakan tindakan ke atas pelajar. Prosedur dan tatacara yang digunakan dalam melaksanakan sesuatu tindakan ke atas pelajar, faedahnya bukan sahaja untuk pelajar, tetapi untuk diri guru-guru juga. Sebab itu jangan ada di kalangan guru menganggap leceh atau lekeh tabiat mematuhi prosedur dan tatacara dalam melaksanakan apa jua tindakan yang melibatkan pelajar.
Biar kita mengambil sedikit masa untuk memahami dan melaksanakan semua prosedur dan tatacara itu daripada kita terpaksa mengambil banyak masa keluar masuk mahkamah akibat kecuaian kita yang sedikit.
Guru mungkin berasa selesa dengan apa yang telah mereka amalkan selama ini kerana tidak pernah diambil tindakan undang-undang dan tindakan tata tertib sebelum ini. Ibu bapa dan pelajar tidak pernah melaporkannya. Mungkin sebabnya sesetengah ibu bapa dan pelajar tidak begitu tahu akan hak-hak mereka, begitu juga prosedur untuk mengambil tindakan undang-undang. Tetapi usahlah itu dijadikan alasan untuk kita mempertaruhkan keselamatan diri kita sendiri dengan tidak mematuhi prosedur dan tatacara.
Apabila seseorang guru itu diminta mematuhi prosedur, contohnya dalam penghantaran surat amaran bagi kes ketidakhadiran pelajar, dan tatacara menghukum pelajar serta mengambil langkah berjaga-jaga yang munasabah, semua itu dibuat untuk menunjukkan tanggungjawab kerajaan menjaga keselamatan diri para guru daripada dikenakan tindakan undang-undang.
Dengan mematuhi prosedur dan tatacara tersebut kerajaan ingin memastikan semua pihak mendapat keadilan yang sewajarnya-guru dilindungi dan pelajar tidak teraniaya.
Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " Jaga Dulu Diri Kita "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply