Pihak sekolah memang terdedah kepada tindakan undang-undang. Apatah lagi sekarang ini ibu bapa semakin mengetahui hak mereka dan undang-undang. Malahan ibu bapa mendapat banyak contoh daripada tindakan undang-undang yang semakin kerap diambilke atas pihak sekolah. Ini janganlah dijadikan alasan oleh guru-guru terutama pengetua untuk menghindar diri daripada melakukan sesuatu pembaharuan dan pembangunan di sekolah. Aktiviti membangunkan sekolah tidak boleh terhenti hanya disebabkan alasan perundangan ini.Sebaliknya pengetua dan guru-guru hendaklah menerima ini sebagai satu cabaran agar mereka sentiasa bertindak profesional dengan melakukan sesuatu tindakan mengikut undang-undang sepenuhnya dan mematuhi prosedur yang ditetapkan. Maksud saya alasan ini turut mendorong pengetua dan guru-guru mengendalikan sekolah menurut cara yang benar dan tepat sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang. Tentu tidak salah bukan kerana kesan jangka panjang sekolah akhirnya akan diurus tadbir dengan cara yang lebih baik. Mengikut prosedur dan undang-undang memang merumitkan dan meletihkan sebab semua peringkat tindakan wajar mengikut prosedur dan garis panduan yang telah ditetapkan, tetapi setelah kita sudah biasa dengan cara itu, itulah akhirnya menjadi cara yang akan membantu kita melicinkan serta menambahkan kecekapan kepada tindakan kita untuk mengurus tadbir sekolah. Merumitkan hanyalah kesan sementara belum biasa, tetapi kesudahannya tidak ada pihak yang akan teraniaya dan terseret ke mahkamah kerana tersilap langkah dengan melakukan sesuatu tindakan yang tidak sah di sisi undang-undang. Kalau selama ini guru hanya melakukan sesuatu kerana kebiasaan kini guru benar-benar melaksanakannya kerana menurut peraturan dan peruntukan undang-undang. Natijahnya tiada siapa yang rasa tidak puas hati baik di pihak guru, pelajar mahupun ibu bapa kerana semuanya dilaksanakan mengikut prosedur dan undang-undang. Ternyata mengurus tadbir sekolah termasuk dalam aspek Hal Ehwal Murid, kewangan, kurikulum, kokurikulum dan pentadbiran akan menjadi lebih smart dan “selamat” jika dilaksanakan menurut undang-undang berbanding menggunakan cara-cara lama yang berasaskan kebiasaan, ikut-ikutan, rasa-rasa dan budi bicara. Tentulah sebelum semua ini berjaya dilakukan dengan sempurna dan kesan positif menyeluruh dicapai; pengetua, penolong-penolong kanan dan guru-guru sekolah terlebih dahulu mesti mempunyai pengetahuan tentang perundangan dalam pengurusan sekolah. Sumber pegangan rasmi oleh para guru seperti Akta Pendidikan, Perintah Am, Pekeliling dan Etika Perguruan mesti dikuasai dan difahami. Jika menghadapi masalah dalam memahami sesuatu yang mempunyai implikasi perundangan biasakanlah merujuk kepada Penasihat Undang-Undang yang ditempatkan di setiap Jabatan Pelajaran Negeri.











No user commented in " Guru Perlu Didedah Dengan Perundangan "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply